PENGENALAN


 

Majlis Daerah Dalat dan Mukah yang terletak kira-kira 500 meter dari pusat Bandar Mukah Lama merupakan sebuah agensi Kerajaan Tempatan yang diberi kuasa untuk mentadbir kawasan-kawasan yang diperuntukkan dibawahnya berdasarkan kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 1971). Bertujuan agar setiap daerah lingkungan Majlis ini akan dapat menikmati pembangunan yang seiring dengan bandar-bandar lain di negeri Sarawak khasnya dan di Malaysia amnya.

Dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Mukah yang dilantik secara langsung di mana beliau ditugaskan, menurut Local Authorities Ordinance 1996 Seksyen 12 (2) & (3), bertanggungjawab dalam mempengerusikan pelbagai Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Majlis yang terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis (Council Councillor).

Diketuai oleh Setiausaha Majlis selaku Pegawai Eksekutif Majlis yang dilantik oleh Setiausaha Tetap Kementerian Alam Sekitar dan dipersetujui oleh Setiausaha Kerajaan Negeri menurut syarat-syarat Perkhidmatan Kuasa Tempatan Peraturan 1955 (Local Authority-Terms of Service) 1955 di bawah Seksyen 35 & Seksyen 1(c) Ordinan Kuasa-Kuasa Tempatan 1996.

Berbekalkan kawasan peruntukan pembangunan seluas kira-kira 7,916.33 km/segi, pelbagai bentuk perubahan telah dilakukan semenjak seawal penubuhan Majlis ini.

Sehingga kini, seramai 68,083 orang penduduk pelbagai kaum, bangsa, agama dan budaya dalam kawasan lingkungan MDDM dapat menikmati pembangunan berterusan. Terdapat empat buah tempat utama naungan MDDM yang mana ibu pejabat Majlis ini sendiri terletak di Bandar Mukah dengan tiga lagi cawangan kecilnya bertempat di kawasan cawangan masing-masing iaitu, Majlis Daerah Dalat dan Mukah Cawangan Dalat, Majlis Daerah Dalat dan Mukah Cawangan Balingian dan Majlis Daerah Dalat dan Mukah Cawangan Selangau.

Majlis Daerah Dalat dan Mukah menyediakan pelbagai perkhidmatan asas seperti merancang dan melaksanakan projek-projek pembangunan Bandar Mukah, Daerab Kecil Oya/Dalat, Pekan Kecil Balingian dan Pekan Kecil Selangau/Stapang. Selain dari itu, MDDM juga menyediakan perkhidmatan menilai dan memungut cukai pintu, menyediakan perkhidmatan perpustakaan kepada masyarakat, pengurusan dan pembuangan sisa-sisa pepejal.

Perkhidmatan lain yang disediakan oleh MDDM ialah seperti pengeluaran, pembatalan dan penahanan pelbagai lesen, permit serta sijil kependudukan bagi mengawal aktiviti perniagaan dan memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk setempat terjamin. Di samping itu juga, pihak MDDM juga menyediakan perkhidmatan kaunter bagi tujuan pembayaran dan aduan, kawalan penyakit berjangkit atau merebak serta pengindahan alam sekitar (landskap) di sekitar kawasan naungan Majlis Daerah Dalat dan Mukah.

Pendek kata, Majlis Daerah Dalat dan Mukah menyediakan perkhidmatan yang lebih selesa dan mesra kepada penduduk tempatan serta menjalankan kewajipan dengan lebih adil, bersih, cekap, amanah dan berkualiti dari semasa ke semasa.